Friday, September 4, 2009

Keranamu....abah


Berkorban apa saja
Harta ataupun nyawa
Itulah kasih mesra
Sejati dan mulia

Terima kasih abah...
Keranamu ku lahir
Keranamu ku berjaya
Keranamu ku tabah
Keranamu ku sayu
Keranamu kusedih
Keranamu kugembira
Keranamu ku belajar hidup
Di bumi yang serba mencabar
Menuntut ilmu dan pengalaman
Menghadapi jurang dan liku kehidupan

Abah...
Ku hormati dan kusanjung
Walau ada ketika kita tak sehaluan
Walau pernah wujud jurang pemisah
Walau hubungan menjadi hambar
Walau bicara tidak semesra dulu
Tapi, percayalah...abah
Kau yang ku sayang
Ku rindui, ku sanjung, ku mimpikan,

Abah...
Kini kau terlantar
Kesakitan, kesedihan, keuzuran dan kesunyian
Hatiku sedih, pedih mengenangkan nasib
Kecewa meruntun jiwa

Padamu Ya Allah...
Ku panjatkan doa semoga abah
Sabar..tabah..cekal..redha...
Ampunkanlah dosanya
Berilah rahmat kepadanya
Kurniakanlah kekuatan kepadanya
Tebarkanlah semangat, semangat..
Untuk menghadapi hari tuanya
Semoga anak-anak tidak lupa
Insaf dan sedar akan tanggungjawab terakhir
Amanah Tuhan yang amat besar
Amin........

Saturday, May 2, 2009

Keletahku!






Umi kata, Hazim mesti jadi orang pandai. Pandai baca A,B, C, menari, menyanyi, baca doa, menulis, melukis, mewarna dan macam-macam lagi. Semuanya saya nak buat! Saya nak cepat besar, jadi seperti orang lain.



Ini adalah cara baru bersenam, boleh menggunakan muzik untuk membuat pergerakan mudah dan susah. Ianya seperti senamrobik. Sememangnya ia adalah pergerakan badan yang memberi kebaikan kepada'kardiovaskular' dan fizikal badan.



Tips bagi mendapatkan badan yang sihat ialah:





  • Luangkan 3 kali dalam seminggu membuat senaman dalam tempoh sekurang-kurangnya 30 minit.


  • Sebaiknya memakai pakaian yang sesuai bagi memudahkan pergerakan badan dan mengelakkan kecederaan.


  • Mulakan dengan meregangkan badan sebagai persediaan sebelum memulakan pergerakan yang lebih kompleks.


  • Lakukan aktiviti atau kemahiran secara berulang dan teratur selama beberapa minit.

  • Untuk penutup, lakukan aktiviti menyejukkan badan bagi mengurangkan suhu dan kadar denyutan jantung.

JADIKAN GAYA HIDUP SIHAT ITU SEBAGAI AMALAN.


BADAN SIHAT OTAK CERGAS.




RAMBUT adalah mahkota.


Punca rambut gugur.


Kerap mewarnakan rambut untuk kelihatan bergaya sebenarnya mendedahkan seseorang kepada risiko keguguran rambut jika bahan pewarna terkena kulit kepala hingga merosakkan akar rambut.


Selain itu, tabiat menyikat rambut dengan kasar dan penggunaan sikat yang tidak sesuai dengan jenis rambut boleh mendorong seseorang kepada masalah botak pada usia muda. Sebenarnya dua faktor penting menyumbang kepada masalah ini, iaitu fizikal (luaran) dan genetik.


Faktor luaran termasuk pencemaran kimia seperti sebatian sintetik, bahan pengawet dalam produk penjagaan rambut, gas beracun seperti karbon monoksida dan hujan asid yang mengandungi asid sulfurik. Pencemaran biologi pula disebabkan jangkitan kulat, bakteria dan kuman lain dalam udara, sama ada di rumah atau tempat kerja, yang boleh menyebabkan kerosakan akar rambut. Kehilangan rambut juga boleh disebabkan faktor genetik dan ia sukar diatasi, tetapi kehadiran faktor luaran menyebabkan proses keguguran menjadi lebih cepat dan mendadak.
Malah, penggunaan sikat yang tidak sesuai juga menyumbang kepada masalah ini kerana bentuk rambut manusia tidak sama. Garis rentas menunjukkan rambut kerinting sebenarnya berbentuk segi tiga, manakala rambut separa kerinting berbentuk lonjong dan bulat bagi rambut lurus. Mata sikat hendaklah tidak terlalu rapat dan tajam kerana ia boleh mencederakan kulit kepala dan pembukaan liang akar rambut. Kehadiran liang ini menyebabkan permukaan kulit kepala menjadi tidak rata dan mata sikat yang terlalu rapat akan menghasilkan geseran atau daya tarikan berlebihan dipanggil traction alopecia yang menyebabkan keguguran rambut.
Sebenarnya, setiap akar rambut boleh kehilangan rambut beberapa kali dan bilangan ini berbeza antara individu. Setiap kali kehilangan rambut, akar rambut akan menghasilkan rambut baru sehingga kehilangan rambut terakhir kerana selepas itu, liang akar rambut akan tertutup. Kecederaan pada liang akar rambut akan mendedahkan ia kepada jangkitan bakteria, kulat atau kuman lain akibat pencemaran. Geseran itu sama ada boleh membuatkan rambut putus, rambut akan tumbuh semula tetapi jika akar rambut tercabut sama, tiada rambut akan tumbuh di tempat berkenaan.
Tekanan di tempat kerja antara punca utama masalah keguguran rambut di kalangan lelaki dan wanita. Ada orang menyikat rambut berulang kali untuk meredakan tekanan kerja dan tabiat ini hanya akan merangsang keguguran rambut. Setiap orang perlu memastikan akar rambut mendapat nutrien secukupnya. Malangnya, kesihatan rambut tidak banyak bergantung kepada diet seharian, sebaliknya ia perlu diberikan nutrien dari luar. Ini kerana hampir 50 peratus nutrien semula jadi, terutama dari ekstrak pucuk tumbuhan primordial, boleh dimasukkan ke dalam akar rambut bagi mendapatkan rambut sihat dan bermaya.
Paling penting, elakkan syampu yang banyak kandungan bahan kimia, terutama ammonium (bahan pengawet sintetik) dan silikon kerana sebatian ini boleh mempercepatkan kerosakan akar rambut. Seboleh-bolehnya elak warnakan rambut. Jika terpaksa, gunakan bahan pewarna tanpa sebatian ammonium, silikon dan raksa. Pastikan ketika menyampu, bahan pewarna tidak terkena kulit kepala kerana jika terkena walaupun sekejap, sudah mampu merosakkan akar rambut.

CACING Jana Pendapatan.


Kebelakangan ini bidang pertanian semakin menarik untuk diceburi lebih-lebih lagi dengan hasrat kerajaan menjadikan sektor itu sebagai pemacu ekonomi negara. Antara perniagaan membabitkan pertanian yang semakin diperkatakan umum ialah perternakan cacing kerana menjanjikan tuaian lumayan berbanding modal dikeluarkan.
Teknologi pertanian semakin pesat berhasil menemui kegunaan cacing yang dulu lebih lazim dilabelkan jijik dan selalunya hanya digunakan pemancing sebagai umpan, manakala petani pula menggunakannya sebagai baja kompos bagi menggembur serta menyuburkan tanah.
Kajian sebuah universiti tempatan mendapati selain baja organik, air basuhan cacing juga berpotensi menjadi penyubur tumbuhan sayuran berdaun dan tanaman hiasan seperti pokok bunga. Kini, fungsi cacing yang dikatakan kaya protein dengan 20 jenis enzim dan asid amino itu diperluaskan kepada bidang kosmetik serta perubatan. Kesannya, harga cacing kini tinggi di pasaran dan permintaannya yang tinggi juga mendorong banyak pihak menternakknya secara komersial.
Terdapat kira-kira 1,800 spesies cacing di dunia ini, namun yang popular ialah cacing merah, cacing harimau, cacing biru dan cacing malam (african night crawler). Perangkaan menunjukkan China sebagai negara pengguna terbesar, memerlukan lebih 500 tan cacing tanah sebulan bagi tujuan perubatan dan kosmetik. Jepun pula memerlukan satu tan seminggu bagi tujuan sama. Kajian menunjukkan lebih 30 jenis nutrien terdapat dalam cacing, malah tanaman yang menggunakan baja kompos amat subur dan tidak memerlukan racun serangga.
Di negara kita, antara Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang serius menjalankan penyelidikan mengenai cacing ialah Universiti Sains Malaysia (USM). Dalam laman web universiti itu menyatakan , USM kini memiliki Rumah Cacing (Worm Farm Haouse) sendiri bagi menternak cacing harimau secara komersial bermula sejak empat tahun lalu. Cacing harimau boleh membesar dalam masa dua setengah hingga tiga bulan akan dijadikan makanan haiwan ternakan seperti ayam, itik dan ikan. Namun, penjagaan cacing harimau ini memerlukan kesabaran kerana ia sensitif terhadap suhu dan kandungan air yang tinggi.

ISU SEMASA PEMERINTAHAN


Isu semasa antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri.



Royalti Royalti Minyak.
Hubungan kerajaan persekutuan dengan kerajaan negeri memainkan peranan penting dalam pentadbiran sesebuah kerajaan yang berjaya dan memenuhi permintaan rakyat. Pemberian royalti oleh Petroleum Nasional Berhad (Petronas) kepada kerajaan Terengganu sejak lebih 30 tahun lalu memang telah diketahui. Ia disahkan sebagai hak kerajaan negeri itu sebagai pulangan atas hasil minyak yang disedut di luar pantai negeri tersebut. Namun, ada segelintir pemimpin dari Kerajaan Pusat gemar menamakan wang tersebut sebagai ehsan Kerajaan Pusat. Boleh dikatakan kesemua media cetak Negara, bahasa Melayu atau bahasa Inggeris, yang melaporkan detik penting itu menggunakan istilah "royalti". Tertulis padanya, "Majlis Penyerahan Royalti Minyak Separuh Kedua 2008 oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Malaysia". Jumlah dipaparkan ialah RM408,600,000.00. Pembayarannya daripada Kementerian Kewangan Malaysia kepada Kerajaan Negeri Terengganu. Isunya jelas iaitu, mengapa pemberian royalti ini dianggap rahsia oleh rakyat Terengganu sedangkan mereka berhak tahu dan juga tarikh pemberian royalti tidak tepat seperti yang dijanjikan oleh mereka yang berkenaan.

Apa yang pengkaji ingin kupas di sini ialah hubungan yang terjalin antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri adalah sangat rapat,. Contohnya, seperti kerjasama ekonomi yang terjalin secara dua hala di mana sebelah pihak memerlukan bantuan kewangan dan di sebelah pihak lagi sebagai penggerak atau pengantara untuk menjual hasil minyak serta menjadi sumber kewangan bagi melaksanakan projek yang dirancang. Apa yang terjadi sejak kebelakangan ini ialah Kerajaan Negeri tidak menerima ‘royalti’ yang sepatutnya daripada minyak yang diambil. Ini dikuatkan lagi dengan kenyataan yang diambil dari Akhbar Siasah bertarikh 21-27 Disember 2008 muka surat 17, bertajuk : ‘Jangan terpedaya serahan royalti minyak’ oleh Bendahari PAS negeri, Mohd Abdul Wahid Endut berkata, baki tersebut bukan royalti sebenarnya tetapi ia adalah baki wang terimaan "dana khas" daripada kerajaan Persekutuan yang belum dilunaskan sebelum ini, bagi tahun 2007 dan 2008. "Ia bukan royalti, royalti belum diselesaikan lagi, ada dalam lembaran akaun kerajaan Persekutuan melalui dana khas hanya menyerahkan 78 peratus sahaja sebelum ini, " katanya. Adat menjadi pembangkang, cukup sensitif jika berlakunya kepincangan dalam pentadbiran kerajaan negeri sekadar untuk mendapatkan keadilan dan hak yang sepatutnya. Pembayaran royalti sebagaimana yang termaktub dalam undang-undang adalah secara terus daripada Petronas ke dalam akaun kerajaan negeri. Pembayaran royalti petroleum yang sebenarnya haruslah mengikut prosedur undang-undang sebagaimana perjanjian yang dibuat di bawah Akta Petroleum tahun 1974. Bukan mudah bagi rakyat Terengganu untuk melupakan isu perampasan hak mereka itu. Ditambah lagi dengan isu pendidikan iaitu sekolah-sekolah di bawah kerajaan negeri juga kekurangan peruntukan terutama untuk pembangunan fizikal. Mangsa utama ialah para pelajar, di mana sebilangan mereka sepatutnya mendapat pembiayaan seperlunya sama ada untuk meneruskan pengajian di universiti tempatan mahu pun di luar Negara. Jabatan-jabatan kerajaan juga turut mengalami kesempitan belanjawan.

Oleh itu, sehingga kini kerajaan negeri berusaha untuk mendapatkan hak mereka daripada kerajaan Persekutuan.
Kereta Rasmi Kerajaan Negeri.
Kereta rasmi yang digunakan oleh kerajaan negeri amat perlu bagi memudahkan dan melancarkan pergerakan terutamanya apabila destinasi yang dituju adalah jauh ke dalam kawasan pedalaman. Isu terbaru yang diketahui umum ialah kereta rasmi yang digunakan oleh kerajaan negeri Terengganu. Menteri Besar mengejutkan negara apabila mengumumkan kerajaannya terpaksa menukar kereta nasional Proton Perdana V6 Eksekutif dengan kereta import jenis Mercedes-Benz atas alasan menjimatkan kos. Menurutnya, kerajaannya terpaksa menanggung kos sangat tinggi untuk penyelenggaraan Perdana V6 yang digunakan sebagai kenderaan rasmi Menteri Besar, anggota Exco dan pegawai kanan kerajaan. Kereta yang kerap dibeli kira-kira empat tahun lalu itu kerap rosak dan memberi masalah kepada anggota Exconya.

Baru-baru ini juga, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamalluddin menjadi sasaran kecaman para pemimpin apabila memaklumkan kerajaannya telah memesan 16 buah Toyota Camry 2.4 bagi menggantikan Perdana V6 yang diguna sekarang. Kerajaan negeri sebelumnya juga telah banyak membelanjakan wang bagi kos penyelenggaraan dan baik pulih kenderaan rasmi Menteri Besar dan anggota Exco dari tahun 2004 hingga Mac 2008. Mengambil hakikat itu, meski pun terpaksa membelanjakan lebih RM2 juta bagi pembelian kereta baru itu, ia dikira masih mampu menjimatkan wang negeri apabila kos penyelenggaraan Camry dijangka tidak setinggi itu. Hujah utama pihak yang mengecam tindakan Perak itu ialah kerana membelakangkan kereta nasional. Telah menjadi dasar kerajaan sejak beberapa tahun lalu untuk menjadikan kereta nasional itu sebagai kenderaan rasmi pembesar kerajaan. Justeru, isu yang timbul ini, tindakan Perak dan Terengganu dianggap tidak patriotik. Di atas rasional yang sama , kerajaan negeri lain juga bercadang mengikut jejak langkah Perak menggantikan kereta rasmi itu jika kedudukan kewangannya mengizinkan tahun depan. Justeru, hubungan antara kedua kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan haruslah mempunyai persefahaman di dalam hal ini. Hal ini dilihat sebagai berbaloikah untuk mempertahankan dasar yang terbukti merugikan dan menampakkan seolah-olah pemimpin tidak tahu mengurus kewangan dengan bijaksana. Di sinilah peranan kerajaan Persekutuan untuk memberi panduan dan nasihat kepada kerajaan negeri agar memilih yang terbaik.
Minyak.


LAIN YANG DITERNAK, LAIN YANG MENJADI...















"Tangkap ia....tangkap! Jangan biar terlepas."


Ular ini telah memakan dua ekor ayam tanpa disedari penternak, namun ianya dapat ditangkap sebelum ia membaham hasil ternakan yang lain.

Antara pemangsa yang menceroboh.

Penternak perlu memastikan ternakannya sentiasa selamat dari gangguan seperti serangan pemangsa, serangan penyakit dan juga faktor cuaca yang boleh menjejaskan kesihatan hasil ternakan.


Tuesday, April 28, 2009

HOBI LUMAYAN






PEMELIHARAAN KAMBING.

Kambing mudah dipelihara kerana mudah menyesuaikan diri dengan alam sekeliling, tambahan pula makanannya mudah didapati di sekitar kawasan seperti rumput dan dedaun. Kambing diternak untuk daging, susu dan kulitnya. Penternakan kambing bukan sahaja untuk pendapatan sampingan bagi pengusaha kecil tetapi juga menampung keperluan permintaan daging tempatan, khususnya mengurangkan import daging.



BAKA KAMBING.


  • Baka Katjang. -mempunyai tanduk yang melengkuk ke belakang, leher
    yang pendek dan belakang yang tinggi sedikit dari bahunya.
    -telinga yang pendek dan tegak.
    -bulu yang nipis dan kasar, berwarna hitam, kadangkala
    bertompok putih.
    -kambing jantan mempunyai bulu panjang dan dan kasar di
    sekeliling tengkuknya serta mempunyai janggut.


  • Baka Jamnapari/ -mempunyai telinga yang besar dan panjang.
    Etawah -bulunya agak kusut, berwarna campuran hitam dan kekuningan.
    -berat kambing jantan dan betina dewasa adalah antara 60-90kg
    dan 30-60kg masing-masing.


  • Baka Kacukan -merupakan kacukan baka tempatan dengan baka import.
    -sangat subur, sederhana besar dan dan berbagai warna bulu.
    -ia diternak untuk dagingnya.
    -kambing jantan mempunyai berat 35-45kg sementara betina pula
    beratnya ialah 25-30kg.

  • Baka Anglo-Nubian -merupakan baka import.
    -mempunyai badan yang besar, kaki yang panjang dan telinga
    yang berjuntai.
    -raut mukanya cembung dan mempunyai tanduk.
    -bulu warna perang bertompok kemerahan, perang bertompok
    putih, hitam atau kombinasi warna-warna tersebut.
    -berat badan sekitar 50-80kg.
    -baka ini sesuai untuk pengeluaran susu.
    -anggaran susu yang dihasilkan ialah lebih kurang 200kg dalam
    tempoh bersusu iaitu 261 hari.



Di kandang saya mempunyai baka Jamnapari Cross, Boer dan kambing Kampung/ Katjang. Ini adalah projek pendapatan sampingan, oleh itu projek ini diuruskan sendiri dengan bantuan ahli keluarga dan khidmat nasihat dari pegawai veterinar .





DIET:



Kambing diberi makan rumput napier dan pelbagai tumbuhan lain pada sebelah pagi. Segala rumput dan tumbuhan tersebut akan dipotong dengan menggunakan mesin. Untuk mendapatkan suasana semulajadi kambing akan dilepas bebaskan di dalam kawasan yang berpagar selepas pukul 12.00 tengahari sehingga petang.Makanan tambahan seperti soya hull,air gula merah,garam dan ubatan turut diberi untuk memastikan kesihatan kambing terkawal.
















HOBIKU....boleh buat duit!

















Gagahnya aku...

Mari, kita menari....hehe!


Ayam Belanda

Ayam ini lain sedikit daripada yang biasa kita lihat di tepi-tepi rumah. Sejak mula melihatnya saya terus tertarik dengan saiznya yang besar dan rupanya yang cantik. Buat masa ini projek ini dilakukan secara kecilan dengan bantuan saudara mara. Keupayaan pengeluaran buat masa ini hanya mampu menghasilkan lebih kurang 50 ekor anak ayam kampung dan ayam belanda sebulan. Ini adalah kerana kapasiti inkubator yang ada sangat terhad.



Anak-anak ayam yang menetas diberi perhatian sepenuhnya bagi memastikan anak yang dihasilkan benar-benar sihat. Anak ayam boleh dilepaskan sepenuhnya setelah berusia 2 bulan.


Banyak halangan dan cabaran yang terpaksa dihadapi. Antaranya ialah kemudahan dan kelengkapan untuk penjagaan ayam-ayam ini. Inkubator sedia ada hanya mampu memuatkan 40 biji telur pada satu-satu masa. Kami berharap dapat membeli sebuah inkubator yang berkapasiti besar seiring dengan perkembangan projek ini.




FAKTOR YANG MENARIK HATI PELANGGAN KAMI:

  • Ayam-ayam yang dibeli adalah segar dan perkhidmatan pemerosesan disediakan.


  • Ayam-ayam yang dipilih terus oleh pembeli dari ladang.


  • Kami juga menjual anak ayam belanda untuk dijadikan haiwan peliharaan.


  • Lawatan ke lokasi diadakan bagi sesiapa yang berminat bagi meyakinkan pembeli bahawa ayam diternak secara semula jadi.

  • Harga yang menarik bagi pelanggan yang membeli secara borong.


Kami juga menternak ayam kampung dan ayam mutiara.


Jikalau anda berminat sila hubungi :

  • En. Halim : 019-2245 867

  • Pn. Norashikin : 012-3383 145





Tuesday, April 21, 2009

Heroku











Saya Hazim bin Abd. Halim. Dilahirkan pada 19 Oktober 2005 pada hari rabu lebih kurang pada pukul 2.30 petang di Hospital Putrajaya. Comel tak saya?? Saya anak Umi dan Ayah yang menjadi anak kesayangan dan mahu menjadi kanak-kanak yang bijak! Sekarang ini belajar di PASTI As-Syams Tmn. Pinggiran Bayu, Mantin. Walaupun umur baru mencecah umur 4 tahun suasana sekolah amat menyeronokkan dan berilmu. Yea... Yeah... Jom pi sekolah!

Keluargaku







Keluargaku bermula pada tarikh kami bersatu iaitu Disember 2003 di Majlis Perkahwinan kami. Dikurniakan seorang anak lelaki yang sihat dan comel pada 19 Oktober 2005. Seluruh keluarga kami amat menunggu kelahiran 'baby' ini memandangkan keluarga saya telah lama tidak menerima 'orang baru'. Aminnn.......










Wednesday, April 15, 2009

SELAYANG PANDANG



Siapa Diriku



Diberi nama Norashikin Abdullah oleh ibu tercinta. Lahir pada 11 April 1978 di dalam rumah pusaka milik keluarga di Kampung Sesapan Batu Minangkabau, Beranang Selangor. Lahir dalam keluarga yang besar, sembilan orang adik beradik semuanya yang terdiri daripada tujuh orang lelaki dan dua orang perempuan. Pendidikan bermula di Sekolah Kebangsaan Daching, Negeri Sembilan sehingga darjah 3 dan berpindah ke Sekolah Kebangsaan Beranang sehingga darjah 6. Seterusnya pendidikan menengah di Sekolah Menengah Agama Sungai Merab Luar hingga tingkatan 3. Manakala tingkatan 4 dan 5 di Sekolah Menengah Agama Tinggi Hishamuddin Klang. Alam persekolahan menjanjikan pengalaman yang berguna kepada saya untuk dijadikan bekalan sebagai seorang insan di bumi ini. Walaupun alam persekolahan di sekolah agama agak tertutup dan kurangnya pergaulan dengan pelbagai peringkat masyarakat di luar, ianya menjadi tanggungjawab sendiri mencari sesuatu yang baru di luar. Namun, saya merasa begitu bersyukur kerana melalui alam persekolahan yang dapat membimbing saya dengan betul apatah lagi sebagai seorang Islam yang sentiasa mencari dan dahagakan ilmu. Alhamdulillah... Selepas SPM saya meneruskan pendidikan sehingga dapat memasuki Maktab Perguruan Teknik, Cheras Kuala Lumpur yang kini telah bertukar nama ke Institut Perguruan Teknik Kuala Lumpur. Bermula dari tahun 1996 hingga bulan Mei 1999 dengan mengambil subjek Sains dan Pendidikan Jasmani dan Kesihatan sebagai major. Seterusnya tamat pendidikan di Maktab, meneruskan kerjaya di SK Beranang Selangor dari bulan September 1999 sehinggalah kini. Tugas utama di sekolah adalah sebagai guru kelas serta mengajar mata pelajaran sains dan pendidikan seni visual bagi tahun empat, lima dan enam. Berbagai kenangan sepanjang bekerja dalam Kementerian Pendidikan ini dan saya akan teruskan sehingga tiba masanya nanti.

Diriku