Saturday, May 2, 2009

RAMBUT adalah mahkota.


Punca rambut gugur.


Kerap mewarnakan rambut untuk kelihatan bergaya sebenarnya mendedahkan seseorang kepada risiko keguguran rambut jika bahan pewarna terkena kulit kepala hingga merosakkan akar rambut.


Selain itu, tabiat menyikat rambut dengan kasar dan penggunaan sikat yang tidak sesuai dengan jenis rambut boleh mendorong seseorang kepada masalah botak pada usia muda. Sebenarnya dua faktor penting menyumbang kepada masalah ini, iaitu fizikal (luaran) dan genetik.


Faktor luaran termasuk pencemaran kimia seperti sebatian sintetik, bahan pengawet dalam produk penjagaan rambut, gas beracun seperti karbon monoksida dan hujan asid yang mengandungi asid sulfurik. Pencemaran biologi pula disebabkan jangkitan kulat, bakteria dan kuman lain dalam udara, sama ada di rumah atau tempat kerja, yang boleh menyebabkan kerosakan akar rambut. Kehilangan rambut juga boleh disebabkan faktor genetik dan ia sukar diatasi, tetapi kehadiran faktor luaran menyebabkan proses keguguran menjadi lebih cepat dan mendadak.
Malah, penggunaan sikat yang tidak sesuai juga menyumbang kepada masalah ini kerana bentuk rambut manusia tidak sama. Garis rentas menunjukkan rambut kerinting sebenarnya berbentuk segi tiga, manakala rambut separa kerinting berbentuk lonjong dan bulat bagi rambut lurus. Mata sikat hendaklah tidak terlalu rapat dan tajam kerana ia boleh mencederakan kulit kepala dan pembukaan liang akar rambut. Kehadiran liang ini menyebabkan permukaan kulit kepala menjadi tidak rata dan mata sikat yang terlalu rapat akan menghasilkan geseran atau daya tarikan berlebihan dipanggil traction alopecia yang menyebabkan keguguran rambut.
Sebenarnya, setiap akar rambut boleh kehilangan rambut beberapa kali dan bilangan ini berbeza antara individu. Setiap kali kehilangan rambut, akar rambut akan menghasilkan rambut baru sehingga kehilangan rambut terakhir kerana selepas itu, liang akar rambut akan tertutup. Kecederaan pada liang akar rambut akan mendedahkan ia kepada jangkitan bakteria, kulat atau kuman lain akibat pencemaran. Geseran itu sama ada boleh membuatkan rambut putus, rambut akan tumbuh semula tetapi jika akar rambut tercabut sama, tiada rambut akan tumbuh di tempat berkenaan.
Tekanan di tempat kerja antara punca utama masalah keguguran rambut di kalangan lelaki dan wanita. Ada orang menyikat rambut berulang kali untuk meredakan tekanan kerja dan tabiat ini hanya akan merangsang keguguran rambut. Setiap orang perlu memastikan akar rambut mendapat nutrien secukupnya. Malangnya, kesihatan rambut tidak banyak bergantung kepada diet seharian, sebaliknya ia perlu diberikan nutrien dari luar. Ini kerana hampir 50 peratus nutrien semula jadi, terutama dari ekstrak pucuk tumbuhan primordial, boleh dimasukkan ke dalam akar rambut bagi mendapatkan rambut sihat dan bermaya.
Paling penting, elakkan syampu yang banyak kandungan bahan kimia, terutama ammonium (bahan pengawet sintetik) dan silikon kerana sebatian ini boleh mempercepatkan kerosakan akar rambut. Seboleh-bolehnya elak warnakan rambut. Jika terpaksa, gunakan bahan pewarna tanpa sebatian ammonium, silikon dan raksa. Pastikan ketika menyampu, bahan pewarna tidak terkena kulit kepala kerana jika terkena walaupun sekejap, sudah mampu merosakkan akar rambut.

No comments:

Post a Comment