Saturday, May 2, 2009

CACING Jana Pendapatan.


Kebelakangan ini bidang pertanian semakin menarik untuk diceburi lebih-lebih lagi dengan hasrat kerajaan menjadikan sektor itu sebagai pemacu ekonomi negara. Antara perniagaan membabitkan pertanian yang semakin diperkatakan umum ialah perternakan cacing kerana menjanjikan tuaian lumayan berbanding modal dikeluarkan.
Teknologi pertanian semakin pesat berhasil menemui kegunaan cacing yang dulu lebih lazim dilabelkan jijik dan selalunya hanya digunakan pemancing sebagai umpan, manakala petani pula menggunakannya sebagai baja kompos bagi menggembur serta menyuburkan tanah.
Kajian sebuah universiti tempatan mendapati selain baja organik, air basuhan cacing juga berpotensi menjadi penyubur tumbuhan sayuran berdaun dan tanaman hiasan seperti pokok bunga. Kini, fungsi cacing yang dikatakan kaya protein dengan 20 jenis enzim dan asid amino itu diperluaskan kepada bidang kosmetik serta perubatan. Kesannya, harga cacing kini tinggi di pasaran dan permintaannya yang tinggi juga mendorong banyak pihak menternakknya secara komersial.
Terdapat kira-kira 1,800 spesies cacing di dunia ini, namun yang popular ialah cacing merah, cacing harimau, cacing biru dan cacing malam (african night crawler). Perangkaan menunjukkan China sebagai negara pengguna terbesar, memerlukan lebih 500 tan cacing tanah sebulan bagi tujuan perubatan dan kosmetik. Jepun pula memerlukan satu tan seminggu bagi tujuan sama. Kajian menunjukkan lebih 30 jenis nutrien terdapat dalam cacing, malah tanaman yang menggunakan baja kompos amat subur dan tidak memerlukan racun serangga.
Di negara kita, antara Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang serius menjalankan penyelidikan mengenai cacing ialah Universiti Sains Malaysia (USM). Dalam laman web universiti itu menyatakan , USM kini memiliki Rumah Cacing (Worm Farm Haouse) sendiri bagi menternak cacing harimau secara komersial bermula sejak empat tahun lalu. Cacing harimau boleh membesar dalam masa dua setengah hingga tiga bulan akan dijadikan makanan haiwan ternakan seperti ayam, itik dan ikan. Namun, penjagaan cacing harimau ini memerlukan kesabaran kerana ia sensitif terhadap suhu dan kandungan air yang tinggi.

No comments:

Post a Comment